Timo Werner berkata visi Frank Lampard dalam menerapkan falsafah permainan Chelsea berjaya meyakinkannya untuk ke mencuba nasib dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain antarabangsa Jerman itu menyertai The Blues dengan harga £47.5 juta (RM254j) daripada RB Leipzig menjelang musim 2020-21 dan telah pun memperagakan aksi pertamanya dalam kemenangan 3-1 ke atas Brighton & Hove Albion, Isnin lalu.

Werner menjadi buruan kelab-kelab ternama Eropah tetapi pemain berusia 24 tahun itu mendedahkan tidak keraguan untuk memberikan komitmen bersama Chelsea selepas Lampard menjelaskan bagaimana kelibatnya mampu menyempurnakan sistem permainan yang diterapkan.

"Dia sering menghubungi saya," katanya dalam sidang media.

"Kami kerap berbual, dia mengirim teks ringkas kepada saya selain beberapa video bagi menunjukkan gaya bola sepak yang ingin diterapkannya.

"Bagi saya, ia adalah perkara mustahak yang perlu diketahui sebelum saya berpindah ke kelab baru.

"Saya suka mewakili Leipzig dan semuanya baik untuk saya kekal di sana, jadi adalah sangat penting bagi saya untuk datang ke sebuah pasukan yang mempunyai visi sesuai dengan gaya bola sepak saya.


"Saya rasa EPL sangat secocok dengan gaya bola sepak saya kerana rentaknya pantas jadi saya mempunyai peluang untuk berhijrah ke sana untuk beraksi dengan baik."

Penggempur sensasi Jerman itu yang dijangka pulih daripada kelesuan sebelum berentap dengan juara bertahan, Liverpool, Ahad ini turut memuji Lampard.

"Dia seorang yang sangat baik dan tenang. Dia kerap menyuarakan hasrat dan gaya bola sepaknya. Dia menjelaskannya bukan sahaja kepada pemain tertentu bahkan kepada setiap pemain," tambahnya.

"Hubungan kami bukanlah seperti sahabat memandangkan dia adalah pengurus dan saya harus mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadapnya.

"Tetapi dia melihat anda sebaliknya; sebagai seorang manusia, bukan hanya sebagai pemain bola, jadi ia sangat mengagumkan saya dan itulah salah satu sebab mengapa saya datang ke mari."