ASTON VILLA 2 NEWCASTLE UNITED 0

Conor Hourihane dan Anwar El Ghazi menyumbat gol dalam babak pertama untuk mengakhiri tiga kekalahan berturut-turut Aston Villa dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Newcastle United 2-0 ketika menyambut kepulangan Steve Bruce ke Villa Park.


Bruce dipecat oleh Villa pada Oktober 2018, empat bulan selepas tewas dalam final play-off Liga Kejuaraan dan awal pagi tadi, dia tidak diberi ruang untuk meraikan kejayaan.

Martin Dubravka menguis bola dengan hujung jarinya untuk menyelamatkan rembatan Douglas Luiz dari jarak 25 ela tetapi akhirnya diatasi Hourihane apabila sepakan percuma pemain tengah itu melepasi tembok pertahanan lalu menerjah ke gawang.

Villa segera menggandakan kedudukan melalui El Ghazi, yang menyempurnakan hantaran bola mati Hourihane, dari jarak dekat untuk gol liga ketiganya musim ini tetapi kesahihannya perlu diperiksa melalui video bantuan pengadil (VAR) ekoran dakwaan ofsaid.

Allan Saint-Maximin, Isaac Hayden dan pemain pengganti, Andy Carroll, sempat menguji Tom Heaton dalam babak kedua tetapi Newcastle, yang merakamkan kemenangan berturut-turut menjelang kunjungan ke Midlands itu, tetap gagal menembusi pintu gol tuan rumah.

Kemenangan sulung di tempat sendiri dalam tujuh percubaan ketika menundukkan Newcastle itu mengangkat Villa ke tangga ke-15 untuk berada di belakang pesaing mereka itu.