Patrick Vieira menyangkal dia akan mengendalikan Arsenal selepas pengurus Nice itu melabelkannya sebagai sesuatu yang merumitkan.

Jumaat lalu, Unai Emery dipecat selaku ketua jurulatih The Gunners selepas melalui tujuh perlawanan tanpa kemenangan bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Vieira -- legenda Arsenal -- menjadi antara nama yang disebut-sebut berpotensi untuk menjadi pengurus di Emirates tetapi dia menafikan laporan itu.

"Ada beberapa perkara yang tidak saya kawal, orang ramai yang banyak bercakap tetapi belum tentu betul atau tidak," katanya selepas Nice menewaskan Angers 3-1 dalam aksi Ligue 1 semalam.

"Saya tidak kata apa-apa tentangnya. Saya sama seperti anda. Saya baca, lihat, dengar dan itu sahaja."

Vieira, yang membimbing pasukannya menduduki tangga ke-11 dalam Ligue 1 ketika ini, berkata posisi di Arsenal itu sesuatu yang sukar untuk menggantikan Emery.

"Ia tugas yang merumitkan, saya sedar tentangnya," tambah Vieira.

"Saya menyokong Emery, sentiasa sedih melihat pengurus kehilangan jawatan.

"Hari ini waktu dia, mungkin esok tiba waktu saya tetapi apabila anda membuat keputusan untuk memulakan tugas ini, anda perlu jangkakan pemecatan dalam sesuatu bahagian."

Vieira menyarung jersi Arsenal selama sembilan musim, dengan memenangi tiga kejuaraan liga dan tiga Piala FA.

Bekas rakan sepasukannya, Freddie Ljungberg, kini bertindak selaku pengurus sementara The Gunners tatkala Arsenal bakal bertandang ke Norwich City malam ini.