Dominic Calvert-Lewin menyaksikan video Filippo Inzaghi untuk mempertingkatkan permainan selepas pengendali Everton, Carlo Ancelotti, membuat perbandingan antara dua penyerang itu.

Calvert-Lewin telah menjaringkan sembilan gol dalam enam perlawanan musim ini buat Everton, termasuk dua hatrik, sekaligus menjadi pendorong permulaan baik mereka bagi musim 2020-21.

Sesungguhnya, tiada pemain di lima liga utama Eropah telah menjaringkan seberapa banyak gol dalam semua pertandingan sejak musim bermula.

Prestasi pemain berusia 23 tahun itu telah membenarkan dia meraih panggilan pertama ke dalam skuad England menjelang aksi persahabatan berdepan Wales sebelum bertemu Belgium dan Denmark bagi saingan Liga Negara-Negara.

Ancelotti mencadangkan terdapat persamaan dalam permainan Calvert-Lewin dan bekas penyerang Itali, Juventus dan Milan, Inzaghi, pemenang Piala Dunia 2006 itu merupakan salah seorang penyerang elit lebih daripada 20 tahun.

Hasilnya, Calvert-Lewin mencari beberapa rakaman lama Inzaghi bagi membantu meningkatkan permainannya.

"Carlo sememangnya memberikan pengaruh kepada saya," katanya. "Saya berasakan kini lebih berkembang sebagai penyerang, saya mempelajari untuk memperkemaskan lagi gerakan dan setiap aspek dalam permainan saya.


"Saya telah mengubah cara latihan dan persiapan menghadapi perlawanan.

"Saya berasakan analogi daripada Carlo hadir tepat pada masa dan tempat, saya bukanlah pemain yang sama seperti Pippo Inzaghi.

"Dia (Carlo) turut berkata dalam sidang media sebelum ini dan saya menyaksikan beberapa jaringan yang dihasilkan oleh Inzaghi di YouTube. Sememangnya apa yang dilakukannya telah saya ikuti dalam beberapa perlawanan sebelum ini kerana gerakannya cukup berkualiti.

"Anda sentiasa boleh belajar, saya masih lagi belajar dan sentiasa cuba untuk mendapatkan apa yang termampu."