Juan Sebastien Veron percaya Jose Mourinho memerlukan masa untuk mengembalikan zaman kegemilaan Manchester United seperti di bawah pimpinan Sir Alex Ferguson.

Sepanjang 26 tahun berada di Old Trafford, Ferguson telah memenangi 13 gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), lima Piala FA dan dua trofi Liga Juara-Juara (UCL).

Pengendali kelahiran Scotland itu bersara pada 2013 dan sejak itu, United hanya memenangi tiga gelaran -- Piala FA pada musim 2015-16 sementara Piala EFL dan Liga Europa pada musim berikutnya.

David Moyes, Louis van Gaal dan Mourinho telah diberikan mandat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ferguson.

Mourinho berdepan pemecatan musim ini selepas United sekadar menghuni tangga kelapan selepas 12 perlawanan tetapi bekas pemain tengah United, Veron, percaya dengan kebolehan Mourinho untuk membuktikan kebolehannya.

"Persaraan Ferguson telah memberikan impak yang besar kepada pasukan," kata Veron.

"Mereka tidak mampu untuk mencari jalan selepas melakukan banyak perubahan. Tetapi United adalah kelabnya dan berharap mereka akan menemui semula idea untuk bersaing dengan pasukan utama di England serta Eropah.

"Bagi saya, Mourinho seorang pengurus yang berkualiti. Beliau merupakan calon terbaik meneruskan kejayaan Ferguson bersama kelab dan memerlukan masa menaikkan semula pasukan ini."