Jaringan pertama Jamie Vardy musim ini membantu Leicester City menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Aston Villa 4-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power awal pagi tadi.

Penyerang itu, yang sedang mendahului carta penjaring terbanyak musim ini, mengalami kecederaan betis dan ketiadaannya menjejaskan prestasi skuad kendalian Brenda Rodgers berkenaan, yang sedang menduduki tangga ketiga liga.

Bagaimanapun, Villa -- yang sedang menduduki tangga kedua tercorot dan berkemungkinan kembali disingkirkan ke Liga Kejuaraan -- menjadi sasaran mudah untuk skuad The Foxes itu menuntut bela terhadap kekalahan dalam separuh akhir Piala EFL sebelum ini.

Harvey Barnes menghukum kesilapan penjaga gol Villa, Pepe Reina, untuk menjaringkan gol pembukaan dari jarak 25 ela pada minit ke-40.

Vardy kemudian dimasukkan daripada bangku pemain simpanan sebelum sejam permainan dan hanya memerlukan empat minit untuk mengukir namanya dalam senarai penjaring dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Tyrone Mings.

Bekas penyerang England itu menjaringkan gol kedua peribadi pada 11 minit terakhir sebelum Barnes turut melakukan perkara sama pada penghujung permainan bagi menutup malam gemilang Leicester.

Sebagai rekod, Aston Villa kendalian Dean Smith, yang tewas kepada Manchester City dalam final Piala EFL minggu lalu, ketinggalan dua mata daripada zon selamat tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.