Kapten Wolverhampton Wanderers, Conor Coady, berpendapat Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak berfungsi selepas dua kali keputusan tidak memihak pasukannya sewaktu tewas 1-0 di tangan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, di Anfield awal pagi tadi.

Jaringan Sadio Mane dalam babak pertama disahkan selepas kajian VAR tatkala pengadil, Anthony Taylor, sebelum itu membatalkannya kerana bola terkena tangan Adam Lallana.

Namun, Wolves -- yang menyaksikan jaringan mereka dibatalkan akibat ofsaid tidak lama selepas gol Mane -- yakin Virgil van Dijk patut dipersalahkan kerana bola terkena tangannya sebelum melakukan hantaran kepada Lallana.

"Keputusan membunuh kami, ia menentang kami," kata Coady.

"Ia menjengkelkan. Orang ramai bercakap mengenai VAR tetapi mereka tidak bertanya kepada kami tentang situasi yang berlaku. Bagi saya, ia tidak berfungsi.

"Saya bercakap dengan Taylor ketika perlawanan. Dia seorang yang baik dan sedia berbincang. Namun, anda bertanya soalan dan tidak menerima jawapan.

"Kami fikir bola terkena tangan Van Dijk sebelum jaringan dihasilkan. Itu yang kami fikir. Kemudian, Taylor memberitahu saya bahawa Van Dijk berada jauh. Saya tidak dapat memahaminya. Van Dijk melakukan hantaran untuk jaringan dihasilkan.

"Dia seorang pemain hebat dan satu hantaran sempurna tetapi apa yang kedengaran, bola terkena tangannya. Jadi, saya tidak tahu apa kesalahan yang kami lakukan serta kekeliruan yang terjadi, namun bagi saya ia tidak bagus kerana dua kali berturut-turut kami menanggungnya, menentang Liverpool dan Manchester City, dua pasukan terbaik di dunia."

Ditanya bagaimana VAR memberi kesan kepada perlawanan, dia menambah: "Orang ramai tidak sukakannya. Tiada siapa. Tiada siapa bertanya pemain tentangnya. Mereka hadir dan melakukan pengenalan di permulaan musim, memberitahu apa yang akan berlaku tetapi ia masih mengelirukan.

"Anda tidak menerima jawapan di atas padang, mereka memberitahu akan menyemak sama ada penalti atau tidak. Kami mahu mengkaji bola terkena tangan, ofsaid. Jadi, siapa yang ofsaid? Mereka kata kami tidak tahu. Bagaimana ofsaid? Mereka tidak tahu."

Bercakap mengenai jaringan Pedro Neto buat Wolves yang dibatalkan kerana VAR mendakwa Jonny Castro Otto berada dalam kedudukan ofsaid semasa gerakan dilakukan, Coady menambah: "Saya dengar ia sekadar ketiak atau seumpanya, bukan? Ketiak menjadi satu jarak yang besar dalam Liga Perdana Inggeris."


Editor: Nafis Abdullah