Pemain tengah Liverpool, James Milner, percaya persekitaran Liga Perdana Inggeris (EPL) telah dicemarkan oleh video bantuan pengadil (VAR) dan menggesa agar penggunaannya dikaji semula.

Aksi hujung minggu lalu menyaksikan banyak insiden besar berlaku melibatkan teknologi itu tatkala Arsenal dan Everton merupakan pasukan paling terkesan.

Milner merupakan pemain terbaru yang mempersoalkan kredibiliti VAR, mendakwa ia menyebabkan peminat tidak pasti untuk meraikan gol kerana khuatir ia akan dibatalkan.

"Saya bukan peminatnya," katanya.

"Mungkin saya ketinggalan zaman tetapi saya fikir masih banyak perkara perlu dipersoalkan tentang VAR.

"Teknologi garisan gol sangat hebat, ia satu keputusan drastik. Hitam dan putih tetapi sukar untuk menggunakan VAR apabila melibatkan pendapat terhadap keputusan sehingga mengganggu persekitaran.

"Anda hasilkan gol, kemudian semua meraikannya sebelum bergantung kepada VAR. Anda menunggu dan bertanya, adakah ia sah?"

Milner menikmati sumbangan VAR pada minit akhir untuk menyempurnakan sepakan penalti ketika menewaskan Leicester City 2-1, 5 Oktober lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu bersimpati dengan pegawai perlawanan tetapi risau sistem tersebut akan memberi impak negatif kepada bola sepak.

"Saya melalui pengalaman dalam minggu sebelum ini," katanya.

"Ia pengalaman baru memandangkan mereka berbincang sama ada patut memberikan penalti atau tidak.

"Saya rasa kami boleh tingkatkan kualiti dalam penggunaannya. Namun, bola sepak adalah kesilapan manusia di atas padang dan ia dipantau.

"Mereka berdepan tugas sukar dan saya hanya mahu memudahkannya. Namun, ia tidak perlu mengganggu kelancaran perlawanan.

"Jika VAR tidak menyebabkan kontroversi, saya menyokongnya 100 peratus tetapi kami masih berbincang tentangnya. Saya tidak fikir kebanyakan pemain bola sepak bersetuju," katanya.

Liverpool kini mengungguli carta liga selepas 10 perlawanan, memiliki kelebihan enam mata ke atas juara bertahan, Manchester City.

Selepas bergelar naib juara dalam perebutan sengit dengan City musim lalu, bekas pemain England itu berharap The Reds mampu meraih kejayaan musim ini.

"Sukar untuk memenangi liga," katanya.

"Saya bernasib baik dapat menikmati kejayaan itu beberapa kali dan tahun lalu, kami hampir melakukannya.

"Kami dalam prestasi terbaik. Setiap minggu mencatat kemenangan dan sepatutnya berkelebihan 10 mata, namun berada di kedudukan kedua.

"Tahun lalu, jika anda katakan, kami hanya tewas satu perlawanan tetapi ia tidak cukup bagus.

"Musim ini, kami mampu melakukannya. Saya fikir situasi dalam kelab memang tenang, di dalam dan di luar padang sambil orang ramai yakin kami mampu meraihnya.

"Namun, City pasukan yang bagus dan berupaya memenangi setiap aksi. Jurang tidak besar, jadi kami perlu terus berusaha sambil tidak terlalu fokus kepada kejuaraan."