EVERTON 2 LIVERPOOL 2

Liverpool secara kontroversi dinafikan kemenangan dalam pertembungan 'derby Merseyside' apabila jaringan lewat permainan daripada Jordan Henderson dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) untuk berpuas hati seri 2-2 dengan Everton yang menamakatkan perlawanan dengan 10 pemain.


Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton, bangkit dua kali dalam pertemuan menarik di Goodison Park, sebentar tadi.

Michael Keane memadam gol pembukaan Sadio Mane -- jaringan 'derby Merseyside' terpantas dengan catatan dua minit dan 15 saat selepas pelawat kehilangan pertahanan kental, Virgil Van Dijk, yang terhincut-hincut meninggalkan padang dan digantikan oleh Joe Gomez akibat insiden pergelutan di depan gawang yang melibatkan penjaga gol The Toffees, Jordan Pickford.

Penjaga gol England itu terlepas kad merah atas kekasaran berkenaan malah memanfaatkan kehadirannya di atas padang dengan penampilan mantap.

Dominic Calvert-Lewin kemudian menemui sentuhan penyudah untuk kembali mengikat kedudukan 2-2 untuk tuan rumah selepas Mohamed Salah memahat jaringan ke-100 bersama The Reds.

Hasrat anak buah Carlo Ancelotti tersebut untuk memburu kemenangan bagaimanapun terbantut selepas Richarlison diperintah keluar padang gara-gara mengasari Thiago Alcantara dan situasi itu hampir dihukum Henderson, tetapi VAR campur tangan menyebelahi Everton untuk terus menerajui puncak EPL dengan kelebihan tiga mata di depan juara bertahan berkenaan.