Pengurus Tottenham, Jose Mourinho, percaya video bantuan pengadil (VAR) sedang "membunuh liga terbaik dunia" sambil Spurs melakukan rayuan terhadap kad merah yang dilayangkan kepada Son Heung-min ketika tewas 2-0 kepada Chelsea.

Heung-min diarah keluar padang kerana melakukan kekasaran terhadap pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger, di Stadium Tottenham Hotspur, kelmarin.

Arahan keluar padang pada minit ke-62 itu diikuti dengan ulang tayang VAR yang mengesahkan tindak balas daripada Heung-min -- pengadil perlawanan, Anthony Taylor, pada mulanya melihat tiada kesalahan yang berlaku sebelum keputusan itu disaksikan oleh pengadil VAR, Paul Tierney.

"Saya berasakan Tierney membuat keputusan yang salah terhadap situasi melibatkan Heung-min," kata Mourinho. "Ini adalah England, Liga Perdana Inggeris (EPL), pertandingan terbaik dunia, dengan perwatakan sebegini, ia mampu membunuh saingan terbaik dunia."

"Paul Tierney berkata ya, namun Anthony Taylor yang berada lima meter daripada situasi sebenar mengambil keputusan untuk tidak melayangkan kad merah. Jadi, siapa yang mengadili perlawanan? Bukan Taylor tetapi Tierney.

"VAR seharusnya bertindak memberikan sokongan terhadap bola sepak, menghadirkan perkara yang benar. Mereka melakukannya dalam memutuskan sepakan penalti dan membunuhnya dengan keputusan terhadap Heung-min," tambahnya.

Keputusan itu menyaksikan Tottenham kini di tangga ketujuh, enam mata di belakang Chelsea -- yang berada di tangga keempat.

Mourinho tewas tiga kali sejak menggantikan Mauricio Pochettino -- dua menerusi aksi EPL dan satu dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Tottenham hanya tidak dibolosi dua kali selepas 18 perlawanan EPL musim ini, satu daripadanya hadir dalam enam perlawanan di bawah kendalian Mourinho.

"Saya tahu bagaimana untuk membaikinya tetapi untuk melakukannya, saya perlu memastikan kualiti yang ada dalam pasukan ini dapat dikekalkan.

"Bukan sukar untuk memastikan gawang tidak dibolosi, kami harus meningkatkan lagi organisasi pasukan ketika bertahan dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan. Perkara paling penting adalah kami memerlukan masa."