Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, berkata tiada apa untuk diselindungkan ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu mencari punca mereka tewas besar kepada Aston Villa.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu tewas 2-7 di Villa Park awal pagi tadi, hanya beberapa jam selepas seteru tradisi, Manchester United, diaibkan dengan kekalahan 1-6 kepada Tottenham Hotspur di laman sendiri.

Ollie Watkins menjaringkan hatrik, Jack Grealish menghasilkan dua gol dan John McGinn dan Ross Barkley turut berada dalam senarai penjaring ketika Villa memanfaatkan kerapuhan benteng pertahanan Liverpool dalam perlawanan itu.

Kesilapan hantaran penjaga gol, Adrian, yang dipilih menggantikan Alisson yang cedera, mengundang jaringan pertama Villa tetapi pendekatan menggunakan garisan pertahanan yang terlalu tinggi menjadi punca utama kekalahan besar itu.

Mereka merupakan juara bertahan Liga Inggeris pertama memboloskan tujuh gol dalam satu perlawanan liga sejak Arsenal bersepan situasi sama ketika menghadapi Sunderland pada September 1953 dan rekod 11 bolos yang dilakukan mereka dalam empat perlawanan musim ini merupakan yang tertinggi sejak musim 1937-38.

Van Dijk tidak gembira dengan pertahanan pasukannya tetapi turut menyalahkan kekurangan sentuhan pemusnah Liverpool biarpun Mohamed Salah menjaringkan dua gol.

"Amat sukar apabila tewas seperti ini. Terlebih dahulu, tahniah buat Aston Villa, anda perlu memberikan pujian selayaknya mereka," katanya kepada Sky Sports.

"Tetapi jika melihat kepada diri kami sendiri, ia seperti satu persembahan di mana kami tidak memberikan 100 peratus dari mula hingga akhir.

"Jaringan yang kami lepaskan, kami sepatutnya melakukannya dengan lebih baik tetapi dengan peluang yang kami ada -- kerana kami memperoleh banyak peluang -- kami sepatutnya melakukan yang lebih baik.

"Jadi, secara keseluruhannya, kami amat kecewa. Kami tidak sepatutnya tewas besar seperti ini.

"Kuncinya adalah kami perlu kekal bersatu dan tidak membenarkan ia berlaku sekali lagi.

"Anda tidak boleh menafikan pujian buat Aston Villa. Jelas sekali, kami sepatutnya lebih klinikal.

"Dalam setiap aspek perlawanan ini, kami sepatutnya melakukan yang lebih baik.

"Kami perlu menjadi lebih keras sesama sendiri dan ia akan berlaku.

"Ia penting untuk tidak menjadi gila atau apa sahaja tetapi kami perlu bangkit.

"Perbezaan tahap permainan antara perlawanan menentang Arsenal dalam liga dan hari ini amat besar. Semua kami, setiap orang, perlu bertanggungjawab.

"Saya berasakan perbezaannya amat ketara, kami kehilangan banyak bola kedua dan jaringan banyak membantu mereka untuk lebih yakin dan peluang yang kami bazirkan tidak membantu," katanya.