Bintang pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, memuji trio serangan menggerunkan pasukannya yang dibarisi Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane ketika pasukan itu kekal mendahului Liga Perdana Inggeris.

Salah, Firmino dan Mane berganding bahu ketika The Reds mengaibkan Arsenal 5-1 di Anfield, kelmarin.

Firminho menjaringkan hatrik manakala Salah dan Mane turut tersenarai selaku penjaring.

Van Dijk kagum dengan keberkesanan penyudah barisan serangan pasukannya itu menjelang perlawanan penting berdepan Manhester City, Jumaat ini.

"Kami hampir sempurna, cuma kami dibolosi lawan.

"Apa yang penting adalah kemenangan.

"Kami menamatkan tahun ini dengan cemerlang dan kami mahukan ia berkekalan.

"Keyakinan pasukan kini di tahap tertinggi, namun ia mungkin berubah dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang.

"Kami tidak mahu terlalu gembira buat masa ini.

"Kami perlu mengekalkan gaya permainan yang cemerlang.

"Kejutan akan sentiasa tiba dalam liga ini.

"Namun, kami mengatasinya dengan baik setakat ini.

"Sejak awal musim lalu, ramai menyatakan gandingan penyerang kami tidak serasi.

"Namun, anda dapat lihat sekarang, mereka tidak dapat dihentikan.

"Ia amat menggerunkan lawan dan saya gembira dengan apa yang dipamerkan mereka," katanya.

Liverpool kini berkelebihan tujuh mata di depan juara bertahan, Manchester City.

Kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan di Stadium Etihad, awal pagi Jumaat ini.