Virgil van Dijk berkata Liverpool masih boleh meningkatkan prestasi selepas menamatkan 2019 dengan satu lagi kemenangan untuk memiliki kelebihan 13 mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Awal pagi tadi, Liverpool -- yang turut memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding pencabar terdekat, Leicester City -- menewaskan Wolverhampton Wanderers 1-0 di Anfield hasil jaringan Sadio Mane yang diberikan susulan kajian Video Bantuan Pengadil (VAR).

Hasil daripada perlawanan itu, anak buah Jurgen Klopp itu kini mengutip 55 mata daripada 57 keseluruhan selepas separuh musim tatkala satu-satunya kekalahan yang dicatat bagi tahun 2019 adalah sewaktu dikecewakan Manchester City, 3 Januari lalu.

Liverpool turut menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah, Piala Super Eropah serta Piala Dunia Kelab pada tahun ini dan Van Dijk berkata: "Kami fikir masih boleh meningkat dan perlawanan yang telah dilalui, kami mampu tampil lebih baik tetapi kami tidak boleh merungut tentang kedudukan ketika ini. Tahun 2019 telah menampilkan aksi yang meyakinkan dan diharapkan kami dapat mengekalkannya.

"Kami hanya mahu meneruskan apa yang dilakukan ketika ini, kemudian akan melihat pengakhirannya."

Jaringan Sadio Mane awalnya dibatalkan pengadil, Anthony Taylor, kerana bola terkena tangan Adam Lallana sebelum VAR mengesahkan bola hanya terkena bahu pemain tengah itu.

"Namun, Wolves -- yang turut menyaksikan jaringan mereka dibatalkan VAR akibat ofsaid -- jelas tidak gembira dengan insiden sebelum itu di mana bola tampak terkena lengan Van Dijk.

Sewaktu ditanya mengenai insiden itu, Van Dijk menjawab: "Saya perlu melihatnya semula kerana tidak mengingatinya dengan jelas.

"Saya dengar daripada anda bahawa Wolves membantah mengenai insiden itu. Saya fikir ia rungutan tentang bola yang terkena tangan Lallana tetapi apa boleh kami lakukan? Perlawanan sudah tamat, keputusan sudah dibuat dan jaringan dikira."


Editor: Nafis Abdullah