Virgil van Dijk mendedahkan dia beraksi dalam keadaan tidak sihat ketika membantu Liverpool menewaskan Wolverhampton Wanderers 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, awal pagi tadi.

Pertahanan tengah Belanda itu memaparkan aksi luar biasa untuk menjaringkan gol pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris selepas Mohamed Salah menjaringkan gol pendahuluan dalam babak pertama untuk memastikan The Reds kini berkelebihan empat mata di puncak liga.

Di sebalik hujan lebat di Midlands Barat, Van Dijk berkeras untuk diturunkan bagi memudahkan krisis pemain pertahanan yang melanda pengurus pasukan, Jurgen Klopp.

Joe Gomez, Joel Matip dan Trent Alexander-Arnold tidak dapat diturunkan kerana dilanda kecederaan.

Van Dijk gembira kerana berjaya memainkan watak penting yang menjamin kemenangan Liverpool -- ketujuh berturut-turut dalam saingan liga -- yang memastikan pasukannya kekal mendahului carta liga tanpa perlu menghiraukan keputusan di antara Manchester City dan Crystal Palace, malam ini.

"Ia hari yang sukar buat saya memandangkan saya tidak sihat (demam) dan tidak dapat memberikan aksi terbaik," katanya kepada Sky Sports.

"Malam ini merupakan aksi penting buat kami.

"Wolves pasukan yang amat baik.

"Kami beberapa kali kehilangan bola dengan mudah dalam babak pertama.

"Ia menunjukkan mereka beraksi dengan sangat baik.

"Mereka layak mendapat pujian, namun yang lebih penting adalah kami berjaya meraih kemenangan.

"Saingan liga semakin mencabar.

"Wolves memaparkan beberapa serangan berbahaya dan kami berjaya mematahkannya.

"Setiap rakan pertahanan saya beraksi baik dan saya gembira kerana dapat bergandingan bersama mereka.

"Joe dan Joel tidak dapat diturunkan, namun Dejan Lovren beraksi dengan amat baik sejak saya menyertai pasukan ini," katanya.