Virgil Van Dijk berbangga dengan prestasi hebat benteng Liverpool musim ini tetapi menegaskan dia bukan faktor utama peningkatan The Reds.

Van Dijk tampil cemerlang buat pasukan kendalian Jurgen Klopp itu musim ini dan aksi konsisten daripadanya membantu pendahulu liga itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam babak pertama saingan Liga Perdana Inggeris di samping hanya dibolosi tujuh gol.

Dalam satu artikel di laman web rasmi Liverpool yang meraikan ulangtahun kehadiran pertahanan Belanda itu ke Anfield melalui rekod dunia buat seorang pemain pertahanan, GBP75 juta (RM394 juta), Van Dijk melaungkan kebanggaan susulan tempoh 12 bulan yang hebat bersama The Reds.

"Rekod pertahanan kami musim ini menceritakan banyak perkara dan saya sangat berbangga," kata Van Dijk.

"Seluruh pasukan memberikan sumbangan dan kami patut berbangga kerana selain memastikan benteng kukuh, kami juga cuba untuk tidak dibolosi.

"Semua pemain melakukan tugas masing-masing bersama-sama, jadi setiap pemain memberi sumbangan kepada rekod yang kami cipta.

"Kami melakukannya bersama-sama dan ia harus dibanggakan. Memecahkan rekod kelab adalah sesuatu yang sangat baik dan ia menggalakkan semua pemain agar terus cemerlang dan tidak cepat berpuas hati.

"Diharapkan kami akan bergembira di penghujung musim ini dengan sesuatu untuk dipamerkan."

Liverpool kini meraih kelebihan enam mata di puncak liga mengatasi Tottenham Hotspur di tangga kedua susulan kemenangan 4-0 ke atas Newcastle United sehari selepas Krismas, namun berdepan cabaran getir apabila melayan kunjungan Arsenal esok sebelum menentang juara bertahan, Manchester City, 3 Januari ini.