Rafael van der Vaart berharap Harry Kane akan kekal di Tottenham sambil memanfaatkan kerjasama dengan "pengurus sehebat" Jose Mourinho.

Penyerang itu pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami pada awal tahun ini dan membantu Spurs meraih tempat keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk kelab London utara itu menjamin tempat dalam saingan Liga Europa musim depan.

Penggempur berusia 27 tahun itu, yang menyumbat lima gol dalam tiga perlawanan terakhirnya untuk menamatkan kempen musim ini dengan koleksi 24 jaringan dalam semua pertandingan, menimbulkan spekulasi mengenai masa depannya pada awal tahun ini apabila mengakui dia tidak akan kekal di kelab yang diwakilinya sejak zaman kanak-kanaknya itu semata-mata berlandaskan kesetiaan.

Bagaimanapun, Van der Vaart -- yang menghabiskan karier selama dua tahun bersama Spurs -- percaya Kane tidak perlu angkat kaki dalam usahanya memenangi trofi.


"Saya sangat berharap dia akan kekal," kata bekas pemain Belanda itu -- duta Jelajah Trofi Liga Europa UEFA -- kepada Stats Perform News.

"Saya harap dia akan kekal. Spurs memiliki pengurus yang hebat.

"Ini sebuah kelab yang ingin menjadi juara liga dan Liga Juara-Juara (UCL). Mereka juga mampu berbelanja.

"Bagi saya, keputusan yang terbaik buat Harry ialah kekal sahaja."