Van De Beek pilih no. jersi di Manchester United sempena Nouri 

Oleh Shaiful Shamsudin 3 September 2020 1842
 Van De Beek pilih no. jersi di Manchester United sempena Nouri 
Donny van de Beek memilih untuk menyarung jersi no.34 bersama Manchester United sebagai penghargaan terhadap rakan dan bekas rakan sepasukan di Ajax, Abdelhak Nouri.

Tonggak skuad Oranje itu melengkapkan perpindahan daripada kelab gergasi Belanda berkenaan malam tadi menerusi kesepakatan yang menelan belanja £39.1 juta (RM215.7 j).

Selepas perpindahan itu disahkan, The Red Devils mengumumkan pilihan nombor yang dibuat pemain berusia 23 tahun itu. 

Nouri, yang bersama-sama Van de Beek beraksi dalam akademi Ajax, memakai jersi nombor 34 ketika mewakili pasukan senior sebelum tragedi pada 2017 apabila memusnahkan kerjayanya yang sedang meningkat ketika itu. 

Baru berusia 20 tahun, Nouri rebah dalam satu perlawanan pra-musim dan mengalami serangan jantung yang menyebabkannya mengalami kerosakan otak kekal sebelum terjaga Mac lalu, selepas hampir dua tahun sembilan bulan dalam keadaan koma. 

Penjaga gawang, Dean Henderson, kemudian mengesahkan kesudiannya melepaskan nombor jersi itu kepada Van de Beek. 
 
"Ini merupakan satu perkara istimewa buat saya kerana kawan baik saya, Abdelhak Nouri, yang mungkin anda tahu kisahnya," katanya kepada laman sesawang rasmi Man United.

"Dia mengalami serangan jantung dan dia adalah kawan baik saya. 

"Saya sangat rapat dengan keluarganya dan abangnya merupakan salah seorang sahabat baik saya. Saya kerap bercakap dengan mereka.

"Jadi, saya memutuskan untuk menyarung nombor lamanya pada jersi saya ini. Saya harap dapat mengecapi banyak kenangan manis dengan nombor ini."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen