Rafael van der Vaart menganggap Donny van de Beek sememangnya layak untuk menyertai Manchester United ketika memuji bintang Ajax itu menjelang perpindahannya ke Old Trafford.

United hampir mendapatkan perancang gergasi Eredivisie itu, yang dilaporkan telah mencapai kesepakatan mengenai yuran perpindahan, malah mengetepikan tonggak Belanda berkenaan dalam perlawanan persahabatan menentang Eintracht Frankfurt, kelmarin.

Van de Beek juga pernah dikaitkan dengan duo LaLiga, Barcelona dan Real Madrid, pemain berusia 23 tahun itu sebaliknya memilih untuk berkelana ke Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kesepakatan yang mungkin mencecah £40,8 juta (RM223.2j).

Bekas bintang Ajax dan skuad Oranje, Van der Vaart, yang juga pernah beraksi dalam EPL bersama Tottenham, memuji Van de Beek.


"Donny sememangnya layak dengan perpindahan ini," katanya kepada NOS.

"Dia cemerlang untuk Ajax.

"Manchester United benar-benar memerlukan pemain seperti ini dalam pasukan mereka. Perpindahan ini juga bagus buat kami (penyokong Belanda).

"Kami semua akan mulai mengikuti perkembangannya."

Produk akademi itu telah menghabiskan lima musim bersama skuad utama dengan pembabitan lebih 200 penampilan dan antara salah seorang bintang ketika mereka mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) 2018-19.