Van Bronckhorst minat jawatan di Arsenal 

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Mei 2020 213
 Van Bronckhorst minat jawatan di Arsenal 
Giovanni van Bronckhorst bercita-cita untuk menguruskan kelab di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan akan menyambar peluang untuk mengemudi Arsenal pada masa depan.

Bekas pemain antarabangsa Belanda itu kini memikul jawatan di Guangzhou R&F sejak berkelana ke kelab Liga Super China itu Januari lalu.

Van Bronckhorst sebelum ini menghabiskan empat tahun di Feyenoord, memimpin kelab itu yang merupakan kelab pertama dan terakhir dalam kariernya bergelar pemain yang menyaksikannya merangkul gelaran Eredivisie pada musim 2016-17.

Walaupun senang dengan majikannya ketika ini, dia berhasrat untuk bersaing dalam kancah Liga Perdana satu hari kelak.

Peluang untuk mengendalikan bekas pasukannya, The Gunners, merupakan satu "impian besar" buat pengurus kelahiran Belanda itu.

"Buat masa ini saya sedang menikmati pekerjaan saya di China," katanya kepada Sky Sports News.

"Tetapi sebagai pemain, saya mempunyai cita-cita manakala sebagai pengurus pun, saya mempunyai cita-cita. Bagi saya Liga Perdana adalah liga nombor satu di dunia dan pastinya mempunyai cita-cita untuk bekerja di sana. 

"Saya selalu mengatakan jika saya dapat menguruskan bekas pasukan saya, ia merupakan impian menjadi kenyataan."

 
Setelah tugasannya di Feyenood berakhir, Van Bronckhorst mengambil kesempatan dengan mengunjungi Manchester City untuk meluangkan masa menyaksikan cara Pep Guardiola bekerja.

"Tahun lalu saya menghabiskan selama lima bulan di Manchester bersama Pep," katanya lagi. 

"Dia sangat bersikap terbuka. Dia bercakap mengenai sesi latihan dan saya dapat menonton dan melihat semuanya dan bercakap dengan kakitangannya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen