Patrick Van Aanholt amat teruja apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus, namun kekal fokus untuk memulakan saingan Liga Perdana Inggeris bersama Crystal Palace.

Van Aanholt dilaporkan menjadi sasaran juara Serie A itu selepas Alex Sandro berkemungkinan dijual tatkala benteng Brazil itu dikaitkan dengan Manchester United sambil Kwadwo Asamoah telah berhijrah ke Inter Milan.

Van Aanholt, pemain skuad kebangsaan Belanda yang menjaringkan lima gol melalui posisi bek kiri musim lalu, membantu Palace bangkit daripada permulaan suram dalam liga.

Bekas pertahanan Sunderland itu juga tidak pasti sama ada dia akan meninggalkan Selhurst Park untuk ke Turin sebelum jendela perpindahan ditutup Khamis ini.

"Sentiasa bagus apabila dikaitkan dengan kelab besar seperti Juventus. Ia adalah satu petanda bahawa saya berada dalam keadaan yang baik," katanya.

"Saya berasa lega dan mahu melakukannya (berpindah) tetapi saya adalah pemain Palace dan mahu memulakan musim ini.

"Saya gembira. Kami memiliki skuad yang bagus, keluarga saya tinggal di London dan anak-anak saya juga bersekolah di sini.

"Ia cuma satu khabar angin dan selagi tiada pihak yang hadir memberikan tawaran, saya tidak perlu risaukannya," katanya lagi.