Ernesto Valverde melabel Pedro sebagai pemain "bersejarah" Barcelona selepas pemain sayap Chelsea berkenaan mendedahkan bahawa dia ingin kembali ke Camp Nou.

Pada minggu ini, Pedro memberitahu Ser Catalunya bahawa dia akan berasa senang untuk kembali ke kelab itu di mana dia memenangi 20 trofi utama, iaitu lima gelaran LaLiga dan tiga kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) di antara tahun 2008 dan 2015.

Pemain berusia 32 tahun itu hanya diberi kesempatan beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak empat kali sejak The Blues di bawah bimbingan Frank Lampard dengan kontraknya akan tamat pada akhir musim ini.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu dilaporkan sedia dilepaskan bulan depan.

Bercakap kepada pemberita semalam, pengurus Barca, Valverde, mengulas mengenai Pedro: "Dia adalah seorang pemain bersejarah di Barca -- jangan bersikap kebudak-budakan. Dia salah seorang pemain yang telah memenangi paling banyak gelaran bersama kelab ini tetapi dia sedang beraksi untuk kelab lain ketika ini.

"Kami perlu menghormati pemain di kelab lain, kami akan melihat apa yang mungkin boleh berlaku pada masa akan datang."

Masa depan dua pemain tengah Barca juga dalam kesamaran menjelang jendela perpindahan yang akan dibuka sedikit masa lagi apabila Ivan Rakitic dan Arturo Vidal masing-masing dikaitkan dengan perpindahan ke Serie A.

Rakitic bergelut untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama pada awal musim ini yang mendorongnya meluahkan bahawa situasi tersebut membuatkan dia jemu dengan bola sepak, namun dia memberi sumbangan besar dalam kemenangan ketika bertemu Borussia Dortmund, Atletico Madrid, Real Mallorca dan Inter baru-baru ini.

"Dia bermain dengan baik, begitu juga dengan pemain lain," kata Valverde mengenai pemain tengah Croatia itu.

"Kami berada dalam tempoh klinikal musim ini dan kami telah menemui beberapa rentak persembahan yang baik.

"Pada jendela musim panas lalu, orang mula bertanya mengenai apa yang berlaku, kemudian anda mendapat sedikit ruang dan kemudian, pasaran musim sejuk akan kembali.

"Kami perlu berdepan dengan cabaran yang ada, dengan pemain yang ada. Rakitic telah terlepas banyak perlawanan tetapi kini dia beraksi dengan lebih kerap dan jika dia diturunkan, itu adalah kerana dia bermain dengan baik."

Ketua Pegawai Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta, mengesahkan selepas kekalahan kepada Barca bahawa mereka berminat terhadap khidmat Vidal, namun pengurus itu tidak jelas mengenai perancangannya terhadap pemain itu.

"Bagaimanakah saya dapat menjawab maklumat yang bukannya daripada kami? Maklumat ini muncul daripada Inter. Mereka sendiri yang tahu mengenainya," katanya.

"Bagi kami, pasaran pemain belum lagi dibuka, Arturo merupakan tonggak kami dan kami memerlukannya jika kami fikir ia lebih sesuai."