SOUTHAMPTON 4 EVERTON 1

David Unsworth memohon maaf kepada penyokong Everton selepas mereka tewas 4-1 kepada Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


The Toffees tewas 5-1 kepada Atalanta dalam saingan Liga Europa (UEL) dan nasib mereka bertambah buruk ketika beraksi di Stadium St Mary dan jaringan penyamaan Gylfi Sigurdsson gagal memberikan sinar buat mereka.

Dua jaringan Charlie Austin dan satu gol daripada Dusan Tadic dan Steven Davis memastikan Everton mengharungi 15 perlawanan tanpa kemenangan.

Unsworth yang mengambil alih tugas Ronald Koeman, yang dipecat Oktober lalu, memohon maaf kepada penyokong The Toffees di atas persembahan mereka.

"Saya sangat kecewa. Persembahan pada separuh masa kedua adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Saya memohon maaf kepada penyokong Everton yang hadir menyaksikan perlawanan ini.

"Kami tidak boleh terus melakukan persembahan seperti ini, ia tidak cukup baik.

"Kami melalui saat sukar dan minggu penting menanti kami," katanya.

Perlawanan seterusnya bertemu West Ham sangat penting dalam usaha untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Everton mungkin tanpa kelibat dua tonggak utama selepas Leighton Baines dan Michael Keane gagal menamatkan perlawanan kerana mengalami kecederaan.

"Leighton memiliki kecederaan betis. Kami akan menilai keadaan mereka untuk perlawanan seterusnya. Michael Keane mempunyai masalah yang berbeza dan kami berharap dia dapat diturunkan," ujarnya.