Pengurus Brighton and Hove Albion, Chris Hughton, percaya sepakan sudut yang memberikan gol kemenangan Manchester United semalam sepatutnya tidak diberikan.

Lewis Dunk menepis percubaan Ashley Young ke dalam gawang sendiri selepas pemain sayap itu melepaskan percubaan pada minit ke-66.

Tetapi perdebatan menyelubungi keputusan pengadil yang memberikan sepakan sudut kepada United selepas bola terkena kaki Romelu Lukaku sebelum ia dikeluarkan.

Hughton berasakan insiden tersebut telah menafikan mata buat pasukan pelawat.

"Kadang-kala, jurang di antara kedua-dua pasukan terlalu kecil dan nasib tidak menyebelahi kami," kata Hughton.

"Pada pendapat saya, sepakan sudut itu tidak seharusnya diberikan kepada United.

"Ia adalah satu keputusan yang sukar diterima dan saya amat kecewa kerana pulang tanpa sebarang mata," katanya.

Walaupun tewas, Hughton berharap saingan yang dipamerkan di Old Trafford akan menjadi momentum bagi menghadapi Manchester City dan Arsenal.

"Kami telah bertemu tiga daripada enam pasukan yang kuat di England. Kami telah cuba memberikan yang terbaik," tambahnya.