BOURNEMOUTH 1 MANCHESTER UNITED 2

Ander Herrera gembira di atas persembahan Manchester United dalam separuh masa kedua ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Bournemouth malam tadi tetapi mengakui skuad kendalian Jose Mourinho itu menyukarkan diri sendiri.


United mengharungi permulaan yang hambar hingga gagal memberikan saingan kepada The Cherries dalam separuh masa pertama tetapi bernasib baik apabila Anthony Martial mengimbangi gol pembukaan Callum Wilson.

Tetapi persembahan pelawat meningkat dalam separuh masa kedua, dengan pengaruh Herrera dan seorang lagi pemain gantian, Marcus Rashford, memastikan tiga mata diraih.

"Saya berasakan United bermain dengan lebih baik dalam separuh masa kedua," kata Herrera.

"Kami tidak boleh membenarkan lawan mencipta jaringan dalam 25 minit pertama. Ia menyukarkan kami untuk mencipta kemenangan. Bagaimanapun, kami beraksi amat baik dalam separuh masa kedua tetapi kami mahu melakukannya untuk seluruh 90 minit tempoh permainan.

"Saya berasakan kami perlu membincangkannya bersama pasukan, kami perlu meningkatkan mutu permainan dalam 20 hingga 25 minit pertama permainan."

Rashford turut menyatakan perkara yang sama, "Kami perlu meningkatkan persembahan pada permulaan perlawanan. Kami sering berakhir dengan cemerlang.

"Perkara paling penting adalah meraih tiga mata, kami gagal memulakan musim ini dengan baik dan setiap mata adalah penting untuk pasukan. Ia membantu kami membuat persiapan menghadapi perlawanan seterusnya.

"Kami bakal berdepan Juventus dan Manchester City, jadi kami perlu bermula dengan baik."