Manchester United perlu menunggu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) seandainya seteru utama, Manchester City, terus berbelanja, kata pengurus, Jose Mourinho.

United tidak memenangi liga sejak 2012-13 dan pasukan kendalian Mourinho itu menduduki tangga kelapan dan 18 mata dipisahkan dengan juara bertahan, City, selepas 15 perlawanan musim ini.

The Red Devils, yang tidak menang dalam empat perlawanan terakhir EPL, menamatkan kempen musim lalu di belakang City dengan jurang 19 mata, justeru Mourinho memberi amaran kemarau trofi liga kelab itu akan berterusan melainkan perbelanjaan mewah City itu berakhir.

"Saya tidak tahu," kata Mourinho ketika ditanya berapa lama United perlukan untuk kembali menawan Liga Perdana.

"Ia bergantung kepada evolusi kami tetapi dalam masa sama, evolusi orang lain juga. Jika pasukan-pasukan di atas kami terus berada dalam arah yang sama dan jika cita-cita dan pelaburan mereka berterusan, maka itulah hakikatnya.

"Melainkan mereka berhenti (melabur) atau jika 'Sekatan Kewangan Play Fair' membuatkan mereka berhenti, maka barulah kami dapat merapatkan sedikit jurang dengan lebih baik.

"Dunia penuh dengan cadangan dan saya tidak tahu sama ada ia benar atau tidak benar, dan itu bukan tugas saya untuk menganalisisnya," kata Mourinho mengenai kemungkinan City dihukum.

Liverpool belum memenangi gelaran liga sejak tahun 1990 dan ketika ditanya apakah dia melihat United bakal menghadapi kemarau yang sama, Mourinho menjawab: "Saya tidak tahu apa yang terjadi di Liverpool, saya hanya tahu angkanya tetapi saya tidak tahu mengapa."

United, yang seri 2-2 ketika berdepan Arsenal pada pertengahan minggu baru-baru ini, akan mengalu-alukan kunjungan Fulham ke Old Trafford, malam ini.