Jose Mourinho berasakan pengalamannya sebagai pengendali Chelsea dua musim lalu meyakinkannya Manchester United masih berpeluang untuk memenangi takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

United mempamerkan aksi yang menyerlah ketika menewaskan Feyenoord 4-0 dalam saingan Liga Europa pada Jumaat dan kembali mengharungi saingan domestik bertemu West Ham pada Ahad.

The Red Devils kini menghuni tangga keenam, dan Mourinho berkata United masih mempunyai harapan untuk memenangi liga musim ini dan mampu mengejar pendahulu, Chelsea.

"Ketika saya memenangi gelaran terakhir saya 18 tahun lalu -- maafkan saya, 18 bulan yang lepas -- saya memiliki kelebihan 10 mata dan dalam tempoh sebulan, kami memiliki mata yang sama dengan Manchester City," jelas Mourinho.

"Kami kehilangan 10 mata pada penghujung Disember atau awal Januari, kemudian kami bangkit dan memenangi liga.

"Anda mampu mengutip mata semula, pasukan lain juga akan kehilangan mata. Sepanjang musim sedang berlangsung, apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Kami menyedari saingan masih belum berakhir tetapi kami menyedari jurang yang besar di antara beberapa pasukan yang berkualiti.

"EPL merupakan pertandingan yang sukar tetapi kami cuba menempuhi satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami berdepan tugas sukar minggu ini, tetapi kami akan cuba untuk mendapatkan tiga mata penuh."

Anthony Martial tidak beraksi ketika bertemu Feyenoord dan Mourinho berasakan pemain kebangsaan Perancis itu masih lagi menghadapi kesukaran untuk membiasakan diri dengan gaya permainan sejak Louis Van Gaal meninggalkan United.

"Setiap pasukan adalah berbeza. Mungkin Martial lebih selesa bermain dalam formasi yang digunakan oleh LVG tetapi kami sedang melakukan pertukaran dalam gaya permainan kami.

"Pada pendapat saya, dia memerlukan masa untuk menemui rentak permainannya."