Aksi Manchester United lebih membosankan di bawah bimbingan Jose Mourinho, menurut bekas pengurus kelab itu, Louis van Gaal, yang menegaskan pendekatan taktikalnya di Old Trafford selalu menyerang.

United berada 11 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City, selepas kekalahan 2-1 dalam pertemuan jiran setempat, semalam.

Mourinho sekali lagi dikritik akibat mentaliti bertahannya ketika menentang skuad Pep Guardiola, dengan dilihat menggunakan taktik yang sama ketika seri dengan Liverpool pada awal musim ini.

Van Gaal -- yang digantikan oleh Mourinho tahun lalu walaupun memenangi Piala FA -- turut dikritik kerana taktik negatif dalam tempohnya di United tetapi jurulatih berusia 66 tahun berkenaan berkata skuad Red Devils lebih buruk bersama bos Portugis itu.

"Jika anda bertanya kepada saya bagaimana saya lakukan di United, saya akan mengatakan ia adalah tahun terbaik saya," kata Van Gaal kepada Fox Sports Belanda.

"Kami bermain bola sepak yang agak baik tetapi bukan bola sepak yang dihargai di England.

"Namun, lihat United sekarang, saya perlu membuat kesimpulan bahawa Mourinho tidak dikritik ketika ia jauh lebih membosankan.

"Apa yang dihasilkan United sekarang adalah bola sepak bertahan, saya sentiasa menggunakan taktikal menyerang. Buktinya, lawan selalu meletakkan bas.

"Mereka tidak melakukannya kerana Mourinho menerapkan corak yang sangat bertahan," katanya lagi.

United seterusnya akan menentang Bournemouth dalam Liga Perdana di Old Trafford pada Khamis ini.