Manchester United telah menggunakan pilihan penambahan kontrak setahun Anthony Martial sehingga penghujung musim depan tetapi ejen pemain itu masih belum puas hati dengan keadaan jangka masa panjang.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu menggunakan pilihan pembaharuan setahun untuk mengelakkan pemain berusia 23 tahun itu berpindah secara percuma di penghujung musim ini.

Dia kini akan bersama United sehingga 2020 tetapi Martial dan United masih belum mencapai kata sepakat mengenai kontrak baru yang dilaporkan selama lima tahun.

Ejen Martial, Philippe Lamboley, yang mendedahkan Martial mahu meninggalkan Old Trafford, Jun lalu, kali ini memberitahu RMC Sport bahawa dia tidak berpuas hati dengan tawaran yang dikemukakan.

"Saya tidak berpuas hati dengan kemungkinan kata putus yang diraih daripada perbincangan itu," ujar Lamboley.

"Mereka telah mengemukakan tawaran yang jauh daripada apa yang kami mahukan. Masih jauh untuk kami mencapai kata sepakat."

Untuk sementara, United menggunakan pilihan pembaharuan kontrak selama setahun, langkah sama yang diambil terhadap penjaga gol, David De Gea.

Martial menikmati prestasi hebat dan muncul penjaring terbanyak kelab dalam Liga Perdana Inggeris dengan tujuh gol daripada sembilan penampilan dalam kesebelasan utama.

Bagaimanapun, hubungan dengan pengurus, Jose Mourinho, menjadi dingin susulan kes lewat menyertai skuad pra-musim di Amerika Syarikat kerana ingin menyambut kelahiran anaknya.