WEST BROM 1 MAN UNITED 2

Jose Mourinho menegaskan hilang tujuan merupakan punca West Brom hampir melakukan kebangkitan ketika Manchester United meraih kemenangan ketiga berturut-turut di
laman lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 2-1 di The Hawthorns.


Jaringan Romelu Lukaku dan Jesse Lingard meletakkan mereka kembali dalam landasan dengan kemenangan keenam dalam tujuh perlawanan EPL.

Bagaimanapun, United bagaikan hilang arah pada separuh masa kedua, dengan pemain gantian, Gareth Barry, berjaya meledak gol pertama West Brom di bawah kendalian Alan Pardew dan hampir mencipta kemenangan pada penghujung permainan.

Mourinho menegaskan skuadnya telah melakukan yang termampu untuk memenangi perlawanan itu walaupun menyedari West Brom bangkit pada babak kedua.

"Saya berasakan United hilang punca pada separuh masa kedua, intensiti permainan pada separuh masa pertama gagal diulangi pada baki 45 minit perlawanan," katanya.

"Selepas gol mereka, kami kembali mengawal perlawanan. Kami cuba bertahan hingga tamat perlawanan dan berjaya melakukannya.

"Saya berasakan kami berhak meraih kemenangan. Kami adalah pasukan yang terbaik untuk perlawanan ini," tambahnya.

United dihukum apabila kapten pasukan, Antonio Valencia, mengalami kecederaan, dengan Mourinho menyatakan kepenatan menjadi punca bek kanan itu terpaksa digantikan.

"Ini adalah bola sepak di England, terutama sekali pada Disember," kata Mourinho. "Pemain-pemain bukan mesin dan kadang-kala perkara sebegini berlaku.

"Kami masih ada beberapa pemain lain, Daley Blind dan Matteo Darmian tidak berada di bangku simpanan dan kami memiliki pemain lain yang mampu mengharungi kesukaran ini."