Jose Mourinho mengambil pendekatan berhati-hati berhubung laporan pemburuan Manchester United terhadap Victor Lindelof bagi mengelak daripada menerbitkan rasa tidak senang Benfica.

Pemain Sweden itu dilaporkan menjadi idaman untuk dibawa masuk ke Old Trafford dalam jendela perpindahan Januari lalu, namun usaha itu gagal.

Bagaimanapun, United masih belum mahu berputus asa untuk mengikat pemain berusia 22 tahun itu dan bersedia untuk membuka kembali rundingan dalam tempoh rehat, musim ini.

Namun, Mourinho enggan mengulas sama ada dia mahu mendapatkan Lindelof dengan menegaskan adalah tidak adil buat bos Benfica, Rui Vitoria, untuk dia mengumumkan hasratnya bagi mendapatkan pemain pertahanan tengah itu.

"Saya tidak mahu mengulas sama ada saya mahukan Lindelof atau tidak," kata Mourinho kepada Maisfutebol. "Saya berasakan ia adalah tindakan yang salah.

"Rui tidak akan gembira sekiranya pengurus kelab lain bercakap mengenai salah seorang pemainnya, presidennya tidak akan gembira apabila melihatnya.

"Lindelof milik mereka."

Pemain pertahanan itu memiliki kontrak bersama Benfica sehingga Jun 2021.