Manchester United mengesahkan bahawa mereka telah bersetuju dengan perjanjian bersama Benfica untuk perpindahan pemain pertahanan, Victor Lindelof.

Perpindahan untuk bek tengah kelahiran Sweden, Lindelof, 22, kini tertakluk kepada ujian perubatan dan syarat peribadi.

Jika perpindahan itu selesai, ia akan menjadi pembelian pertama United dalam jendela perpindahan musim tertutup ini, dengan yuran dilaporkan €35 juta (RM167 juta).

"Manchester United dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan Benfica untuk perpindahan Victor Lindelof, tertakluk kepada ujian perubatan, pelepasan antarabangsa dan syarat peribadi.

"Satu pengumuman lanjut akan dibuat sebaik sahaja perpindahan selesai."

Lindelof berpindah ke Benfica pada Disember 2011 dan telah memenangi tiga gelaran Liga Primeira, dua trofi Taca de Portugal dan Taca da Liga semasa di Estadio da Luz.

Dia juga adalah sebahagian daripada pasukan yang memenangi Kejohanan Eropah Bawah 21 Tahun bersama Sweden pada 2015.

Pengurus, Jose Mourinho, dilaporkan berminat untuk membawa Lindelof ke Old Trafford semasa jendela perpindahan Januari lalu tetapi langkah itu tidak menjadi kenyataan.

Jurulatih berbangsa Portugis itu sekali lagi hampir kepada Lindelof, dan pemain antarabangsa Sweden itu bakal menambah pilihan pertahanan United pada musim depan.

Pertahanan adalah satu kawasan tumpuan United untuk dikukuhkan, dengan Marcos Rojo mengalami kecederaan lutut pada April, manakala masa depan Chris Smalling dan Phil Jones tidak jelas dengan Mourinho mengkritik duo itu. Seorang lagi pemain pertahanan, Luke Shaw, dilanda kecederaan semasa kempen sebelum ini.

United turut dikaitkan akan menyambar pemain pertahanan Real Madrid, Raphael Varane, yang bekerja dengan Mourinho di Santiago Bernabeu, dengan laporan mendakwa perpindahan itu bergantung kepada penjaga gol, David de Gea, berhijrah ke pasukan lawan.