United berhak tundukkan Tottenham -- Mourinho

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2019 1452
United berhak tundukkan Tottenham -- Mourinho
Jose Mourinho menerima hakikat Manchester United layak menewaskan Tottenham Hotspur ketika kepulangannya ke Old Trafford awal pagi tadi.

Dua gol Marcus Rashford dalam setiap babak serta satu gol Dele Alli menyaksikan skuad bimbingan Mourinho, Spurs, tewas 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sekali gus menamatkan rekod 100 peratus pengendali itu sejak menggantikan Mauricio Pochettino.

Spurs dilihat kurang bermaya tetapi Mourinho berang dengan penalti yang tidak perlu diberikan oleh Moussa Sissoko sehingga membolehkan Rashford meledakkan gol kemenangan dalam babak kedua.

"Saya fikir United layak menang berdasarkan aksi dalam babak pertama. Kami tidak bermula dengan baik," katanya.

"Saya fikir untuk tempoh 30 minit pertama, mereka lebih bagus dan disebabkan itu, kami tidak dapat beraksi. Bagaimana kami melepaskan gol kedua juga menjadi faktor lawan berhak menang.

"Jika saya imbas tiga aksi terdahulu kami yang berakhir dengan kemenangan, kami tidak bermula dengan baik. Pasukan tidak bermula dengan kemas, sukar untuk mencapai aksi terbaik dan bergelut untuk tampil agresif dalam perlawanan.

"Saya memberitahu mereka tentang Old Traffod, mengenai sesetengah pemain seperti Scott McTominay yang pantas bermain secara agresif, Rashford memberi tekanan kepada penjaga gol. Cara ini menunjukkan kehebatan sesebuah pasukan tetapi kami tiada dalam perlawanan sejak dari mula.

"Selepas itu, kami memegang bola, bermain dan menjaringkan gol. Kami mampu mencipta lebih banyak peluang, kemudian dalam babak kedua, saya fikir kami benar-benar mengawal permainan seperti sewaktu menamatkan separuh masa pertama.

"Kami melepaskan gol yang mustahil untuk dibenarkan jika mahu menang. Kami tidur dan tidak mengawal permainan. Apa yang berlaku dalam kotak penalti adalah kesan daripada lena tidur."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen