Jose Mourinho mengesahkan pertahanan, Eric Bailly, mengalami kecederaan ligamen lutut ketika Manchester United tewas 4-0 Chelsea pada Ahad.

Bailly bertembung dengan Eden Hazard pada awal babak kedua perlawanan dan terpaksa digantikan dengan Marcos Rojo pada minit ke-52.

Mourinho berkata kecederaan itu berkemungkinan memaksa pemain kebangsaan Ivory Coast itu berehat panjang.

"Dia mengalami kecederaan dan saya bimbang ia mungkin kecederaan yang teruk. Bailly cedera di bahagian ligamen lututnya," kata Mourinho.

United bakal bertemu Burnley dan Swansea City dalam aksi Liga Perdana akan datang dan pengendali kelahiran Portugal itu menjangkakan United kembali bangkit untuk merapatkan jurang dengan Manchester City, Arsenal dan Liverpool.

"Kami hanya ketinggalan enam mata, bukan 16 mata. Kami terpaksa melalui perlawanan yang sukar.

"Selepas ini, kami harus memenangi perlawanan akan datang – Burnley, Swansea, Sunderland dan Middlesbrough."