Manchester United mungkin perlu menunggu sehingga Jurgen Klopp dan Pep Guardiola, masing-masing meninggalkan Liverpool dan Manchester City, untuk memenangi satu lagi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), kata Gary Neville.

Sejak pengurus legenda, Alex Ferguson, meninggalkan Old Trafford dalam musim 2012-13, United tidak pernah memenangi gelaran liga divisyen utama itu dan hanya sekali muncul naib juara sepanjang tempoh berkenaan.

Walaupun bangkit dengan prestasi cemerlang dalam separuh kedua musim ini, skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu menamatkan musim di tangga ketiga dengan ketinggalan 33 mata di belakang juara, Liverpool, dan 15 mata di belakang naib juara, Manchester City.

Klopp menamatkan penantian 30 tahun untuk Liverpool menjulang trofi EPL dan Guardiola pula sebelum itu memastikan gelaran liga buat dua musim berturut-turut, termasuk dengan rekod mata terbanyak dalam musim 2017-18.

Bekas pertahanan sayap United, Neville, yakin United akan melebarkan rekod kejuaraan liga mereka kepada 21 gelaran tetapi ia hanya akan berlaku selepas dua pengurus berkenaan meninggalkan Stadium Etihad dan Anfield.

"Satu perkara yang saya boleh jamin adalah United akan kembali menang," katanya kepada The Mirror.

"Ia mungkin tidak berlaku tahun ini tetapi ia pasti amat hebat untuk kembali menang dan semakin lama penantian itu, perasannya semakin hebat apabila anda berjaya melakukannya.

"Saya tidak berada di sini, sebagai penyokong United, dan berfikir,'Kita mesti menang liga tahun ini'.

"Benar, sudah pasti kami mahukannya tetapi anda sedar bila waktunya dan ia bukan pada ketika ini.

"Ia akan berlaku, mungkin selepas Klopp dan Guardiola meninggalkan Liverpool dan City -- harap-harap ia akan berlaku dalam beberapa tahun ini!

"Peluang itu akan tiba, mereka adalah dua pengurus yang telah membina pasukan yang hebat tetapi mereka akan meninggalkannya dalam satu, dua atau tiga tahun lagi.

"Ia akan menjadi waktu untuk United kembali bangkit dan menguasai liga -- Saya yakin Chelsea juga sedang berfikir seperti itu," katanya.