Pertemuan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) membabitkan Liverpool dengan RB Leipzig ditukar dari Anfield ke Arena Puskas di Budapest, demikian umum Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Perlawanan pertama bulan lalu, yang dimenangi Liverpool 2-0 menerusi gol separuh masa kedua daripada Mohamed Salah dan Sadio Mane, juga diadakan di ibu negara Hungary berikutan sekatan COVID-19 yang mempengaruhi perjalanan di antara Jerman dan Inggeris.

Puskas Arena sekali lagi akan menjadi gelanggang untuk perlawanan timbal balik itu pada 11 Mac depan, dengan pasukan kendalian Jurgen Klopp akan bertindak sebagai pasukan tuan rumah.

"UEFA mengesahkan bahawa perlawanan kedua pusingan 16 UCL di antara Liverpool dan Leipzig akan dimainkan di Puskas Arena, Budapest," menurut satu kenyataan di laman sesawang badan induk itu malam tadi.

"Tarikh perlawanan (pada 10 Mac -- waktu tempatan) dan sepak mula (21:00 CET) kekal.





"UEFA ingin mengucapkan terima kasih kepada Liverpool dan Leipzig atas sokongan dan kerjasama erat mereka, serta Persekutuan Bola Sepak Hungary (MLSZ) berhubung bantuan dihulurkan dan persetujuan untuk melancarkan pertandingan ini."

Semalam, UEFA turut mengumumkan perlawanan Manchester City menentang kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, akan diteruskan di Stadium Etihad biarpun perlawanan pertama diadakan di Budapest.

Itu kerana sekatan wilayah yang berbeza mempengaruhi Leipzig, di negara bagian Saxony, hingga Monchengladbach di North Rhine-Westphalia.