Kepa Arrizabalaga bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukan ketika Chelsea tewas kepada Liverpool, tetapi Frank Lampard menegaskan ia merupakan tanggungjawab dia untuk memberikan keyakinan kepada penjaga gol itu.

Sadio Mane meledak dua gol buat Liverpool untuk meraih kemenangan kedua dengan mengatasi The Blues 2-0 di Stamford Bridge semalam.

Kepa melakukan kesilapan di sebalik gol kedua Mane, melakukan hantaran terus kepada penyerang Liverpool itu sebelum melepaskan rembatan menembusi gawang.

Namun Lampard menyatakan Kepa perlu bertanggungjawab di sebalik kesilapan tersebut, dia menjelaskan dia adalah individu yang bertanggungjawab untuk memberikan keyakinan kepada bekas penjaga gol Athletic Bilbao itu.

"Tugas saya sebagai pengurus untuk memberikan keyakinan kepada Kepa kerana mereka bergantung kepadanya," kata Lampard.

"Jelas sekali ia adalah kesilapannya, dia perlu menerima dan bertanggungjawab ke atas kesilapan tersebut. Kami sebagai satu kumpulan turut perlu bertanggungjawab."



Chelsea sekadar memperoleh tiga percubaan tepat ke arah sasaran, termasuk penalti yang gagal disempurnakan oleh Jorginho.

Bagaimanapun, Lampard percaya pasukannya -- yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Andreas Christensen diarah keluar padang -- mampu mengambil aspek positif daripada perlawanan ini.

"Saya kecewa kehilangan tiga mata, tetapi saya tetap gembira berbanding ketika kami menang 3-1 ke atas Brighton sebelum ini.

"Saya dapat menyaksikan keinginan untuk bertahan daripada sebilangan besar pemain-pemain kami."