Mikel Arteta mengakui usaha membentuk Arsenal kembali sebagai pasukan digeruni merupakan cabaran terbesar sepanjang kariernya.

Pengurus dari Sepanyol itu kembali ke The Gunners sebagai pengurus pada Disember lalu ketika mereka menghuni kedudukan ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL) selain mengharungi tiga musim berturut-turut di luar kelompok empat teratas.

Nasib tidak menyebelahinya berikutan penularan wabak COVID-19 pada Mac lalu yang mendorong penjadualan semula baki perlawanan yang padat.

Pasukan London itu kekal di tangga ke-10 menjelang perlawanan terakhir liga menentang Watford malam ini, tetapi Arteta akan berhitung dengan Chelsea bagi perebutan Piala FA dalam usahanya memenangi trofi pertama kelab itu sejak 2017.

Ketika ditanya apakah tempoh memimpin Arsenal ketika ini merupakan cabaran yang paling sukar pernah dialaminya dalam bola sepak, dia menjawab: "Tidak syak lagi. Saya mampu menulis buku mengenai tempoh enam bulan terakhir ini. Tetapi saya juga sangat menikmatinya.

"Tekanan yang saya hadapi ini adalah kerana saya mahukan yang terbaik.

"Saya tahu tahap kelab ini dan bagi saya, adalah sangat sukar untuk menerima perkara-perkara tertentu.


"Saya sangat terperinci dalam kebanyakan perkara. Mereka perlu berusaha -- iaitu pemain dan kakitangan harus mengenali tempat ini dengan lebih baik, dan melakukan yang terbaik untuk memperbaiki diri dalam setiap bidang."

Arsenal dipacu kemenangan ke atas Manchester City dan Liverpool pasca perintah kawalan pergerakan, tetapi kekalahan kepada Aston Villa dan Brighton & Hove Albion membuatkan kedudukan mereka kekal terumbang-ambing.

Ia kedudukan liga terendah sejak 1994-95- - sebelum era Arsene Wenger -- jadi sudah pasti Arteta sedar kemenangan ke atas pasukan 'lebih kerdil' itu akan melonjakkan motivasi mereka untuk memburu kedudukan lebih baik dalam musim seterusnya.

"Sekiranya kami dapat melakukan hal yang sama ketika berdepan pasukan handalan musim depan dan memperbaiki aspek lain, maka kami akan sebaris dengan pasukan terbaik," tambahnya.

"Tapi ia bukan semudah itu. Statistik menunjukkan kesulitan kami dalam mencipta peluang.

"Itu adalah sesuatu yang harus kami tumpukan untuk memperbaiki prestasi dan lebih tekal dalam meraih keputusan."