Tugas belum selesai, Klopp tepis cadangan Liverpool muncul juara

Oleh Staff Writer 26 Disember 2018 688
Tugas belum selesai, Klopp tepis cadangan Liverpool muncul juara
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tidak berminat untuk membincangkan mengenai kedudukan mereka selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan 2-0 ke atas Wolves, Jumaat lalu, memastikan The Reds kekal selaku pendahulu EPL dengan kelebihan empat mata ke atas Manchester City selepas juara bertahan itu tewas 3-2 kepada Crystal Palace.

Hanya dua kali sejak musim 2008-09, pasukan yang mendahului EPL pada Hari Natal gagal menjulang gelaran, dan pada kedua-dua keadaan itu adalah Liverpool.

Klopp menegaskan beliau dan pasukannya tidak memikirkan mengenai kejuaraan liga buat masa ini, sebaliknya mengutamakan perlawanan seterusnya berdepan Newcastle United di Anfield malam ini.

"Saya tidak berminat membincangkan mengenai kedudukan kami selaku pendahulu EPL pada Hari Natal dan kegagalan Liverpool sebelum ini untuk menjulang gelaran," katanya.

"Sebelum ini, Liverpool adalah pasukan yang berbeza, waktu yang berbeza, segala-galanya berbeza.

"Tugas kami masih belum selesai. Saingan masih lagi berbaki 18 perlawanan.

"Kami enggan memikirkan mengenai Mei. Apa yang kami lakukan adalah memberikan tumpuan untuk aksi berdepan Newcastle malam ini. Kami akan cuba memenangi perlawanan ini.

"Selepas itu, kami akan menerima kunjungan Arsenal. Mari kita bersama-sama menikmati perlawanan ini," tambahnya.

Klopp menyatakan beliau tidak berasakan apa-apa selepas City tewas kepada Palace dan mempersoalkan mengapa Tottenham, yang menewaskan Everton 6-2 dan hanya ketinggalan enam mata daripada puncak liga, tidak dilabel sebagai pencabar takhta EPL.

"Kami tidak pernah berfikir mengenai City, jadi adakah kami perlu memikirkan tentang mereka? Ia adalah sesuatu yang mengarut.

"Saya tidak jangka City akan tewas kepada Palace tetapi inilah bola sepak.

"Ketika kita sedang membincangkan mengenai Liverpool dan City, tiada seorang pun yang membincangkan kebarangkalian Tottenham untuk bergelar juara. Kemenangan mereka ke atas Everton sangat mengagumkan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen