Thomas Tuchel "amat gembira" dengan kemenangan 1-0 Liga Perdana Inggeris (EPL) di Liverpool sambil memberi amaran bahawa Chelsea tidak lagi boleh leka apabila kembali menguasai tangga empat teratas.

Mason Mount menjaringkan gol tunggal perlawanan menuju waktu rehat untuk The Blues menghadiahkan kekalahan kelima berturut-turut seteru itu di gelanggang keramat, Anfield, buat pertama kalinya dalam sejarah mereka.

Penyudah klinikal pemain tengah England itu memastikan kelab London berkenaan meneruskan 10 rentetan perlawanan tanpa kekalahan sejak Tuchel mengambil alih tugas Frank Lampard pada Januari lalu dan mengangkat mereka ke tempat keempat.

Chelsea kini empat mata di depan Liverpool yang menghuni tangga ketujuh dan berdasarkan prestasi di Merseyside itu, mereka seakan-akan ditakdirkan untuk mengharungi kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

The Reds hanya melepaskan satu percubaan ke sasaran sementara gol Timo Werner dalam babak pertama dibatalkan akibat ofsaid dalam satu persembahan yang amat memuaskan hati Tuchel.




Menurut pengendali kelahiran Jerman itu: "Saya sangat gembira. Sejujurnya, saya masih berasa kesal dengan keputusan seri menentang Southampton kerana saya tidak gembira kami tercicir dua mata dan cara kami melepaskannya.

"Tetapi secara umumnya, saya gembira. Sejak hari pertama lagi saya sudah berasa menjadi sebahagian daripada kelab ini dan seronok dapat mengendalikan pasukan ini. Saya dapat berasakan kehadiran tenaga dan sikap yang diperlukan. Mereka bersedia untuk berkorban antara satu sama lain.

"Saya tidak mahu menilai perlawanan ini kerana saya gembira dengan setiap kemenangan, ini kerana saya sedar betapa sukarnya untuk terus meraih kemenangan dan memastikan tidak dibolosi. Oleh itu, saya sangat gembira kerana saya tahu apa yang diperlukan."

Tuchel menegaskan anak buahnya perlu mengekalkan standard tinggi mereka menjelang perhitungan dengan pencabar di tangga kelima, Everton, dalam perlawanan berikutnya.

"Kami sempat menguasai empat teratas selepas mengalahkan Newcastle (16 Februari lalu)," tambahnya.

"Oleh itu, fokus kami tidak boleh terjejas dengan melihat perlawanan yang lebih jauh. Apa yang boleh kami lakukan adalah membuat persiapan bagi menghadapi setiap perlawanan di peringkat tertinggi kerana dalam kancah liga ini, anda tidak membolehkan mengendurkan tahap anda.

"Masih berbaki 11 perlawanan lagi, belum ada yang muktamad. Kami masih berada dalam perlumbaan, kemampuan menutup jurang dengan segera menuntut satu usaha yang tinggi. Sekarang kami berada di pertengahan saingan dan kami perlu terus maju.

"Tetapi persaingan liga, UCL dan Piala FA bermakna kami tidak boleh berpeluk tubuh."