Tuchel: Saya percayakan Pulisic tapi dia perlu bersabar

Oleh Muzaffar Musa 9 Mac 2021 726
Tuchel: Saya percayakan Pulisic tapi dia perlu bersabar
Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, berkata Christian Pulisic tidak bernasib baik kerana kurang bermain sejak kebelakangan ini tetapi penyerang itu perlu bersabar.

Pulisic merupakan pemain tonggak The Blues musim lalu tetapi peranannya kian mengecil di bawah kendalian Tuchel, di mana dia hanya dimasukkan sebagai pemain gantian dalam empat perlawanan lalu.

Pemain kebangsaan Amerika Syarikat itu dimasukkan sebagai pengganti kepada Timo Werner pada minit ke-90 ketika mereka menewaskan Everton 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Tuchel, yang pernah bekerjasama dengan Pulisic sewaktu eranya di Borussia Dortmund, mengesahkan bahawa tiada sebarang isu sesama mereka sambil menjelaskan mengenai persaingan di posisi serangan pasukannya.

"Benar, saya tiada apa untuk dikatakan selain perkara baik mengenainya," kata Tuchel.

"Mungkin masalah terbesarnya adalah saya mengenalinya sejak di Dortmund dan saya fikir dia hanya memulakan perlawanan piala sahaja.

"Ia tanggungjawab saya dan saya fikir ia agak tidak adil tetapi saya tahu apa impak yang mampu diberikannya dalam 20 atau 30 minit terakhir. Dia agak tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan lalu.

"Ia bukan mengenai kurang kepercayaan atau kualiti, ia hanya memerlukannya untuk bersabar.

"Saya mempunyai seorang pemain lain yang saya boleh jadikan contoh iaitu Emerson, yang terkesan dengan pemilihan buruk saya. Dia tidak bermain tetapi dia seorang pemain yang hebat yang sentiasa berlatih di tahap tertinggi dan tidak pernah membiarkan pasukan hilang semangat dengan mentalitinya.

"Ia keputusan yang amat sukar untuk tidak menyenaraikannya dalam skuad hari ini, sama seperti Tammy (Abraham). Ia memang seperti ini, kami mempunyai pasukan yang kuat. mereka perlu terus bersaing. Tiada cara lain," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen