Thomas Tuchel menegaskan tindakan menggantikan Callum Hudson-Odoi dalam pertembungan di Southampton tidak akan menjejaskan keyakinan anak buahnya itu sambil berpesan kepada pemain sayap Chelsea berkenaan agar "menelannya".

Hudson-Odoi dimasukkan untuk menggantikan Tammy Abraham sebelum digantikan pula pada minit ke-76 dengan Hakim Ziyech pula mengambil tempatnya.




Perubahan itu tidak memberikan pulangan apabila The Blues gagal mengubah kedudukan selepas Mason Mount membatalkan jaringan pembukaan Takumi Minamino, untuk berkongsi satu mata ketika 1-1 di St Mary's, malam tadi.

Hudson-Odoi hanya sempat melakukan 18 sentuhan, 10 hantaran -- melengkapkan tujuh daripadanya -- dan gagal membuat sebarang percubaan je gawang mahupun mencipta peluang.

Hudson-Odoi menjadi topik hangat berkaitan bekas pengurus Paris-Saint Germain (PSG) itu, namun Tuchel menegaskan pemain berusia 20 tahun tersebut perlu menunjukkan tahap dan sikap yang lebih baik.

Bagaimanapun, Tuchel tidak gusar keyakinan Hudson-Odoi akan terjejas atas tindakannya itu.

"Tidak, tidak. Sama sekali tidak," katanya dalam sidang akhbar selepas kelab London itu gagal menterjemahkan penguasaan 70.8 peratus.




"Anda harus memahami bahawa kadang-kadang saya mengambil keputusan drastik demi memenangi perlawanan. Tidak menjadi masalah jika dia melakukan kesilapan, beraksi buruk atau membazirkan peluang terhidang, tetapi kami sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan pemain yang tidak berusaha. Itu tidak mungkin.

"Saya tahu apa yang mampu ditawarkannya dan sebab itulah saya amat mempercayainya. Ini tidak akan berubah tetapi dia perlu tahu apa yang saya kehendaki. Apabila dia tidak mencapai tahap seperti yang diharapkan, maka kami mungkin akan berdepan satu keputusan yang sukar seperti hari ini.

"Kami tidak perlu berfikir secara kuno bahawa ini adalah perkara terburuk yang boleh terjadi. Baiklah, ia berlaku hari ini tetapi ia sudah berakhir dan mungkin dia diletakkan dalam kesebelasan utama menentang Atletico Madrid kerana kami mungkin memerlukan karakternya, tetapi dia perlu diberi kepercayaan dan boleh dipercayai. Jadi ini adalah langkah seterusnya buatnya.

"Selalunya apabila tidak memulakan perlawanan, dia akan berdepan sedikit masalah dari bangku simpanan. Ia terbukti ketika kami menentang Sheffield United dan hari ini, dia perlu memperbaiki aspek ini kerana kami memerlukannya dari bangku simpanan.

"Dia perlu melakukannya dengan cara yang berbeza, insiden ini perlu dilupakan. Dia harus bangkit dan belajar daripada situ, dua harus menelannya jadi masalah akan selesai."