Ole Gunnar Solskjaer percaya pencapaian dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) akan menjadi penanda aras terbaik untuk menentukan sama ada Manchester United sudah mengembalikan status mereka atau tidak.

Juara England 20 kali itu tidak pernah menjulang sebarang trofi sejak Jose Mourinho membimbing mereka memenangi Piala EFL dan Liga Europa musim 2016-17.

United akan kembali beraksi dalam Liga Europa dengan menentang AC Milan di San Siro awal pagi esok selepas terikat 1-1 di laman sendiri dalam perlawanan pertama pusingan 16 minggu lalu.

Solskjaer, yang menggantikan Mourinho pada pertengahan musim 2018-19, gembira seandainya dapat membawa pulang trofi ke kelab yang pernah diwakilinya dengan gemilang ketika bergelar pemain suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, dia berasakan kedudukan United di tangga kedua EPL -- menjadi satu-satunya pasukan menewaskan pendahulu, Manchester City sepanjang 32 perlawanan musim ini -- akan menjadi satu penanda aras terbaik untuk mengukur perkembangan pasukannya tanpa mengira sama ada mereka mampu menambah trofi baru di Old Trafford atau tidak.

"Saya kini sudah berada di sini selama dua setengah tahun (tanpa trofi). Saya berasakan sudah ada satu pembinaan semula yang besar telah dilakukan," katanya dalam sidang media.

"Anda dapat melihat perkembangannya berdasarkan kedudukan dalam liga. Itulah petunjuk bagi musim ini. Anda melihat kemampuan anda dengan naik-turunnya.

"Kejohanan piala boleh memberikan anda trofi tetapi adakalanya, ia lebih kepada sesuatu yang ego -- kami akhirnya memenangi sesuatu!

"Kami perlu melihat perkembangannya dan sekiranya kami berkembang dan beraksi cukup baik, trofi itu akan kembali semula ke kelab ini.

"Tetapi bukanlah trofi yang menjadi petunjuk bahawa kami sudah kembali, ia tentang perkembangan berterusan dan ketekalan untuk berada di kelompok teratas liga.

"Adakalanya kejohanan piala akan menyembunyikan fakta bahawa anda masih bergelut," katanya.