Adama Traore adalah pemain bola sepak terpantas dunia dan mampu muncul individu yang tidak boleh dihalang jika dia mempertajamkan kemampuannya, kata bekas rakan sepasukannya, Carles Gil.

Bekas pemain belia Barcelona, Traore, menyinar dalam Liga Perdana Inggeris bersama Wolverhampton Wanderers selepas menyarung jersi Aston Villa, di mana dia dan Gil beraksi bersama serta menjadi rakan.

Traore, kini berusia 24 tahun, dikaitkan dengan calon juara Liga Perdana Inggeris, Liverpool, selepas menarik perhatian sejak menyertai Wolves daripada kelab keduanya di England, Middlesbrough, pada 2018.

Gil percaya tiada pemain lebih pantas berbanding Traore dan sebelum ini, Usain Bolt memberi bayangan ingin menceburi bidang bola sepak selepas bersara di arena olahraga tetapi pemegang rekod dunia 100 meter itu tidak berjaya.

"Dia satu fenomena," kata Gil yang kini beraksi untuk New England Revolution.

"Anda tidak akan lihat seseorang sepertinya. Kuat, pantas dan tidak syak lagi, dia pemain terpantas dunia.

"Saya sentiasa bercakap dengan rakan-rakan; saya tidak tahu jika ada pemain terpantas yang lain. Disebabkan kami mengenalinya, ia sesuatu yang tidak masuk akal."

Gil mengimbau sewaktu Traore berusia 19 tahun dan tiba di Villa pada Ogos 2015, berkata perkembangan yang dipamerkan Traore membuktikan dia seorang pemain bagus.

"Dia telah meningkatkan segalanya. Semua orang membantunya dan kini dia membuktikannya," tambah Gil.

"Masih ada ruang untuk dia tingkatkan prestasi tetapi ternyata dia memberikan perbezaan."