Pemain tengah Manchester City, Yaya Toure, mahu pasukannya lebih cemerlang daripada Manchester United selepas kembali berada di dalam kesebelasan utama The Citizens.

Karier Toure bersama City dilihat bagai menemui jalan penamat selepas pengendali pasukan, Pep Guardiola, dan ejennya, Dimitri Seluk, tidak sehaluan yang menyaksikan pemain Ivory Coast itu tidak beraksi dalam skuad utama.

Pemain berusia 33 tahun itu telah meminta maaf dan kembali beraksi dengan penuh bergaya, menjaringkan dua gol ketika menewaskan Crystal Palace 2-1.

Anak buah Guardiola telah memenangi empat perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa kelibat Toure, namun ternyata kualiti yang dimiliki oleh pemain itu menjadi tunjang kebangkitan mereka ketika menewaskan Arsenal di Stadium Etihad.

"Saya datang ke kelab ini untuk mencipta sejarah," kata Toure. "Saya mahu melihat kelab ini berubah, saya mahu kelab ini menjadi lebih besar daripada United. Saya menyedari ia bukan satu tugas yang mudah tetapi ia merupakan impian saya.

"Saya sangat bertuah kerana pernah beraksi dalam kelab gergasi -- Barcelona dan Olympiakos. Pasukan ini merupakan juara. Tetapi berbeza di City, setiap tahun kami sentiasa terlibat dalam perebutan takhta liga.

"Walaupun kami tewas, pada musim akan datang, kami cuba untuk meningkatkan lagi mutu permainan kami dan pemilik kelab memberikan lebih banyak wang untuk mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti.

"Saya mahu melakukan sesuatu yang sangat penting. Saya telah memenangi dua gelaran EPL dan saya mahu memenangi lebih banyak lagi."