Penjaga gol England, Joe Hart, percaya pemain tengah Manchester City, Yaya Toure, mampu memacu kelab itu dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris musim ini selepas kembali mengesahkan tempatnya dalam kesebelasan utama Pep Guardiola.

Toure diketepikan daripada skuad utama susulan ejennya, Dimitri Seluk, tidak memiliki hubungan baik bersama Guardioala.

Hart, yang kini dipinjamkan ke Torino selama satu musim, percaya kepulangan Toure dalam kesebelasan utama memainkan peranan penting.

"Ketegangan di antara Yaya dan Guardiola telah menjadi fokus peminat bola sepak di seluruh dunia.

"Namun, dia kini telah kembali fokus dan mula membuktikan dirinya selaku pemain yang penting.

"Yaya seorang pemain yang istimewa. Saya beraksi bersamanya untuk beberapa tahun, dia memiliki kualiti untuk menghadirkan kemenangan.

"Apa yang berlaku di belakang tabir sudah pun selesai. Kini dia hanya perlu fokus dengan karier bola sepaknya."

Sementara itu, Hart mengakui ketibaan Claudio Bravo di Etihad memberi bayangan bahawa kariernya bersama City sudah sampai ke penghujungya, namun dia gembira kerana perpindahannya ke Itali membuahkan hasil.

"Ketika awal musim, saya mulai sedar bahawa ada kemungkinan saya akan berpindah pasukan.

"Saya tidak diberikan masa yang banyak tetapi kini saya sudah mula menyesuaikan diri.

"Saya tidak akan menceritakan apa yang perlu dibuat tetapi melalui pengalaman, saya menikmati setiap saat di Itali."