Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, mengesahkan pasukannya sedang berusaha keras untuk melanjutkan kontrak Christian Eriksen melepasi 2020.

Eriksen merupakan kunci utama buat Spurs sejak berhijrah daripada Ajax pada 2013 dan kelab Inggeris itu berhasrat menawarkan kontrak baru buatnya.

Laporan media mengatakan dua pihak sedang berbincang untuk lanjutan kontrak itu tetapi wujud dakwaan bahawa Paris Saint-Germain (PSG), Real Madrid dan Barcelona menunjukkan minat terhadap pemain Denmark itu.

Ogos lalu, Spurs dan wakil Eriksen dilaporkan gagal mencapai kata sepakat tetapi Pochettino yakin situasi itu dapat ditangani dan pihak kelab berusaha keras untuk mendapatkan reaksi positif.

"Eriksen dan kami tahu apa yang sedang dilakukan," kata Pochettino.

"Kami bekerja keras. Pihak kelab cuba mendapatkan keputusan terbaik dan Eriksen juga akan melakukan perkara sama.

"Saya tidak risau tetapi lebih suka jika dia menandatangani kontrak baru dan kekal lama di Tottenham."

Sementara itu, rakan sepasukan Eriksen, Dele Alli, menarik perhatian ketika aksi antarabangsa apabila wujud rakaman video dia sedang mabuk di lobi hotel di London pada awal pagi.

Dalam video itu, Alli yang ditemani oleh rakan senegara, Ross Barkley, dilihat bertikam lidah dengan staf hotel tetapi Pochettino tidak menghiraukan situasi itu sambil berasa pemain itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya menonton video itu dan tiada apa yang salah," tambah Pochettino.

"Kami mencipta masalah apabila tiada apa yang berlaku. Saya mempertahankannya dalam situasi tersebut. Ia adalah satu video. Pastinya tidak adil untuk merakam video itu.

"Sukar untuk saya fahami orang yang melakukannya. Saya mempertahankan Alli dan Barkley. Bagi saya, tiada apa yang perlu dibincangkan. Tiada komen. Saya rasa tiada apa yang perlu diperkatakan tentangnya."