Pemain tengah Tottenham Hotspur, Moussa Sissoko, dijangka terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menjalani pembedahan lutut.

Pemain Perancis itu mengalami kecederaan lutut sewaktu Spurs tewas 1-0 di tangan Southampton pada 1 Januari lalu sebelum terlepas keputusan 1-1 menentang Middlesbrough dalam saingan Piala FA, kelmarin.

Spurs menjangkakan pemain berusia 30 tahun itu tidak akan menyertai sesi latihan sehingga awal April nanti.

"Berdasarkan imbasan, Sissoko telah menjalani pembedahan di bahagian lutut kanannya," kata wakil Spurs.

"Pemain tengah Perancis itu mengalami kecederaan ketika menentang Southampton sehingga menyebabkannya terlepas aksi Piala FA berdepan Middlesbrough.

"Pihak perubatan akan memantau proses pemulihannya sebelum memutuskan untuk membenarkan dia kembali menjalani latihan, awal April nanti."

Sissoko telah melakukan 26 penampilan buat Spurs bagi semua kejohanan musim ini, menjaringkan gol dalam kemenangan liga menentang Bournemouth dan Burnley.

Kecederaan yang dialami membuatkan tempatnya dalam skuad kebangsaan kendalian Didier Deschamps itu masih samar tatkala juara dunia itu akan memulakan kempen Euro 2020 menentang Jerman di Munich, 16 Jun nanti.

Kehilangan Sissoko juga memberi impak kepada perancangan Spurs dalam pasaran perpindahan bulan ini tatkala tiga lagi pemain tengah dikaitkan dengan jalan keluar.

Christian Eriksen dilaporkan menjadi sasaran Inter Milan sambil Harry Winks menarik perhatian dua kelab Manchester. Victor Wanyama dijangka akan meninggalkan pasukan selepas hanya melakukan empat penampilan dalam semua kejohanan musim ini.


Editor: Nafis Abdullah