Tottenham perlu mula menang trofi jika mahu kekalkan Kane

Oleh Nafis Abdullah 9 Jun 2020 100
Tottenham perlu mula menang trofi jika mahu kekalkan Kane
Tony Pulis percaya Tottenham Hotspur perlu mula meraih trofi untuk mengekalkan Harry Kane tetapi yakin tiada individu yang sesuai selain Jose Mourinho untuk mengemudi kelab itu.

Hujung Mac lalu, kapten England, Kane, berkata dia tidak akan kekal bersama kelab itu hanya disebabkan ia pasukan yang disokong sejak kecil.

Kenyataan itu ibarat petanda buat kelab elit di Eropah tetapi meskipun mengharungi kempen sukar sejak layak ke final Liga Juara-Juara musim lalu sehingga menyebabkan bekas pengurus, Mauricio Pochettino, dipecat pada November lalu, Pulis percaya Kane kini di landasan terbaik di bawah kendalian Mourinho.

"Tottenham perlu mula mendapatkan trofi. Saya tidak fikir anda boleh terlalu mengkritik Kane," kata bekas pengurus Stoke City, Crystal Palace dan West Bromwich Albion itu.

"Dia seorang pemain hebat di peringkat kelab dan antarabangsa. Selama tiga atau empat tahun bersama Pochettino, Spurs adalah pasukan hebat. Saya terkejut mereka tidak menjulang sebarang trofi dalam tempoh tiga atau empat tahun terakhir.

"Dia mahu memenangi segalanya. Orang ramai berkata dia gembira di Spurs. Ia kelab hebat dengan stadium baru dan kemudahan latihan yang lengkap.

"Namun, pemain mahukan trofi dan mereka mempunyai pengurus yang mahu mendapatkan semuanya.

"Mereka memerlukan jaminan daripada Daniel Levy dan kelab. Ia memang sukar kerana krisis kewangan yang melanda dunia."

Bercakap mengenai Mourinho, Pulis menambah: "Dia seorang pengurus hebat dan rekodnya membuktikan segalanya.

"Mourinho perlukan masa. Ia masalah besar dalam masyarakat ketika ini terutama mereka yang percaya ia mampu diubah dalam tempoh singkat.

"Jika mereka memberikannya peluang, masa dan kewangan ampuh, dia akan buktikan status selaku salah seorang pengurus terhebat.

"Mourinho juga memiliki peluang sama seperti pengendali lain untuk mencapai kejayaan."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen