Tottenham perlu bermula untuk memenangi trofi jika mahu mengekalkan bintang utama, Harry Kane, yang dikaitkan untuk menyertai Manchester United atau Manchester City, kata Jonathan Woodgate.

Kane, yang berkata akan menilai mengenai masa depannya selepas saingan Euro 2020 bersama England, dilaporkan sudah bersedia untuk meninggalkan pasukan itu bagi memenangi trofi.

Penyerang berusia 27 tahun itu masih berlum menjulang sebarang trofi bersama kelab sejak zaman remajanya, Tottenham, yang memecat pengurus, Jose Mourinho, pada Isnin lalu dan akan berdepan City dalam final Piala EFL hujung minggu ini.

Bekas pertahanan Spurs, Woodgate -- yang kini bertindak sebagai ketua jurulatih kelab Liga Kejuaraan, Bournemouth -- merupakan sebahagian daripada skuad yang menjuarai Piala EFL pada 2008 (kejuaraan terakhir dimenangi Tottenham).

Woodgate menegaskan Tottenham perlu melakukan segala-galanya untuk menewaskan City dalam penentuan di Wembley itu untuk kembali memikat Kane, yang turut mendapat perhatian kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

"Mereka perlu mula memenangi piala dengan stadium baru yang mereka bina dan pemain yang mereka ada.

"Mereka mempunyai penyerang terbaik di England, iaitu Harry Kane, jadi mereka perlu mula memenangi trofi.

"Mereka pasukan bola sepak yang beroperasi dengan baik tetapi mereka perlu memulakannya dengan segera," katanya.