Tottenham Hotspur akan menggunakan pilihan lanjutan untuk memperbaharui kontrak Toby Alderweireld sehingga 2020, kata pengendali pasukan, Mauricio Pochettino, semalam.

Kontrak Alderweireld akan tamat penghujung musim ini tetapi pihak kelab bersedia untuk menggunakan pilihan automatik selama 12 bulan untuk mengelakkannya meninggalkan pasukan secara percuma.

Benteng Belgium itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United selepas Piala Dunia dan perjanjian barunya mengandungi klausa perpindahan, menyaksikan dia boleh meninggalkan pasukan menerusi perpindahan benilai sekurang-kurangnya GBP25 juta (RM131 juta) hujung musim ini.

Awal bulan ini, Spurs mengambil langkah sama untuk mengikat kontrak baru rakan sepasukan Alderweireld, Jan Vertonghen, sehingga 2020.

Ditanya sama ada kelab itu akan mengaktifkan pilihan lanjutan kontrak setahun, Pochettino berkata: "Ya, sudah pasti. Ia amat jelas dan sama situasi seperti Vertonghen."

Alderweireld, yang menyertai Spurs daripada Atletico Madrid tiga tahun lalu, beraksi selama 90 minit dalam aksi sehari selepas Krismas tatkala Tottenham membelasah Bournemouth 5-0 untuk naik ke tangga kedua liga.

Kedudukan itu diraih tanpa sebarang penambahan pemain ketika jendela perpindahan musim panas lalu dan Pochettino menjelaskan Spurs hanya akan mendapatkan muka baru bulan depan jika dia dapat melepaskan beberapa nama seperti Fernando Llorente, Victor Wanyama dan Georges-Kevin N'Koudou.

"Ia bergantung jika ada pemain yang meninggalkan pasukan dan meninggalkan ruang buat nama baru," tambah Pochettino.

"Kami akan lihat sama ada dapat menambah sedikit kualiti dalam pasukan berdasarkan pemain yang keluar. Namun, saya tidak rasa mudah untuk menambah pemain dalam bulan Januari. Sudah tentu ia akan sukar.

"Kami berdepan banyak perlawanan dan sukar untuk bercakap sehingga jendela perpindahan dibuka.

"Sudah tentu Januari adalah detik untuk bercakap tentang penambahan pemain apabila kami bersedia untuk melakukan perbincangan dengan pemain berbeza. Mungkin ada juga yang akan berbincang untuk meninggalkan pasukan atau mahu lebih waktu bermain.

"Ia tempoh normal, jadi kami harus lebih terbuka dan berhati-hati dalam setiap keputusan."